Aplikasi Blockchains.My

Posted on Posted in Uncategorized

SYARIKAT penyedia penyelesaian kewangan, FXBitLab Holdings Sdn Bhd (FXBitLab) memperkenalkan aplikasi Blockchains.My untuk mengatasi masalah susut nilai mata wang akibat proses pemindahan antarabangsa.

Pengasasnya, Datuk Muhd Azrainuddin Zainal berkata, Blockchain.My adalah penyedia pertama di Asean bagi platform mata wang digital, pusat membeli-belah digital dan usahawan digital berlandaskan teknologi blockchain.

Menurutnya, ia adalah aplikasi mudah, murah dan selamat untuk memindahkan wang digital antara negara atau mana-mana dua tempat dan juga membeli-belah secara digital serta membantu sektor keusahawanan digital di Malaysia dan global.

Katanya, blockchain adalah inovasi teknologi terkini semakin mendapat sambutan dan diguna pakai pelbagai organisasi antarabangsa.

“Syarikat menyasarkan peningkatan jumlah penyertaan penduduk tempatan dan sasaran tersebut dipacu oleh promosi agresif syarikat dengan mengadakan pelbagai acara dan persidangan bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai manfaat blockchain.

“Ini selari dengan harapan negara untuk mengiktiraf dan memperluaskan infrastruktur komunikasi dan meningkatkan keupayaannya di seluruh negara sebagai satu cara merapatkan jurang digital,” katanya.

Jelasnya, blockchain adalah rekod atau lejar umum yang dikongsi banyak pihak dan ia hanya boleh diubahsuai setelah mendapat persetujuan majoriti pihak terlibat dalam sistem tersebut.

“Teknologi blockchain mula dihasilkan pada 2008 dan dilaksanakan pada 2009. Ia adalah revolusi teknologi mengutamakan ketelusan bagi setiap transaksi,” katanya.

Beliau berkata, teknologi itu berupaya diguna melalui pelbagai aplikasi, termasuk sistem pembayaran, mata wang digital, penemuan saintifik dan sistem undian.

Perintis teknologi kewangan

Muhd Azrainuddin berkata, beliau dan isterinya, Nur Ezdiani Baharoddin, muncul perintis teknologi kewangan berasaskan blokchain di Malaysia dan Asean.

“Melalui aplikasi ini, pengguna telefon pintar Android boleh buat pemindahan wang secara digital antara negara atau mana-mana dua tempat di dunia dengan mudah dan murah. Transaksi mata wang digital ini lebih selamat kerana ia kalis godam,” katanya.

Syarikat membangunkan teknologi blockchain sejak tiga tahun lalu dan syarikat terlibat dalam teknologi itu sejak 2014 dan bertapak di Hong Kong dan Singapura.

“Infrastruktur blockchain hanya disediakan di dua buah negara tersebut dan bermula dari situ, kami terlibat perniagaan tersebut.

“Kini teknologi berkenaan mula diterima orang ramai dan sehubu-ngan itu, ia adalah masa terbaik untuk kami meningkatkan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai blockchain dan manfaat yang bakal diperoleh pelabur,” katanya.

Blockchain.My ini juga dibangunkan dan menggunakan kepakaran tempatan.

“Dengan kemudahan fasiliti dan seramai 20 orang programmer dari luar negara dan pakar yang faham mengenai teknologi ini terutama dari India dan London.

“Kami labur RM200 ribu untuk bangunkan teknologi ini. Selama tiga tahun penambahbaikan,” katanya.

Sebelum ini, beliau memulakan teknologi ini di Singapura dan Hong Kong, namun apabila Kerajaan Malaysia mula sedar mengenai teknologi tersebut, dia mula memperkenalkannya di Malaysia.

“Pengguna teknologi ini adalah individu, ahli perniagaan dan usahawan dari Asia termasuk Brunei dan Indonesia,” katanya.

Mudah dan cepat

Muhd Azrainuddin berkata, dengan kemudahan ini, rakyat negara ini yang bekerja atau belajar di luar negara tidak perlu lagi menunggu sehingga tiga hari untuk proses pemindahan wang kerana dengan menggunakan Blockchain.My hanya ambil masa beberapa minit dengan kos paling minimum.

“Ia juga platform memudahkan proses pembayaran, perdagangan (berfungsi pusat beli-belah digital) dan pertukaran mata wang digital dan emas,” katanya.

Jelasnya, Blockchain.My juga diintegrasikan dengan Kad Debit Visa dan Kad Near Field Communication (NFC) untuk mewujudkan kesepaduan perkhidmatan kewangan sedia ada dengan pasaran industri teknologi kewangan digital kian berkembang pesat di serata dunia.

“Setakat ini, kami ada 20 ejen berdaftar di Asia Tenggara dan hanya satu ejen di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, dompet digital (e-wallet) Blockchain.My  ini mempunyai tahap keselamatan tinggi.

“Pengguna perlu lalui proses daftar masuk teliti melibatkan sistem pengenalan biometrik. Bayarannya hanya dilakukan menggunakan kad kredit sahaja,” katanya.

Syarikat juga menjangkakan transaksi dalam blockchain mencecah RM30 juta pada tahun ini melibatkan pelabur Asia Tenggara.

Daripada jumlah itu, transaksi Malaysia sebanyak 20 peratus.

Laporan sebelum ini menyatakan Malaysia menggunakan teknologi blockchain secara besar-besaran menjelang 2025, bagaimanapun syarikat membuktikan ianya sudah sedia digunakan pada tahun ini.

Muhd Azrainuddin merupakan ahli panel membincangkan potensi blockchain di Belgium pada Mei lalu dan pernah mewakili Asia mengenai pelaburan emas menggunakan blockchain di Dubai, Mac lalu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *